Saturday, 26 March 2011

Satu Destinasi

Bak kata pepatah, "Kalau tak kenal, maka tak cinta". Sungguh indah pepatah ini dan begitu jugalah kehidupan seorang manusia. Dari Utara ke Selatan, dari Timur ke Barat, sungguh jauh perjalanan namun dengan adanya takdir, kami dipertemukan di sebuah persimpangan. Dan di sini la kami membentuk sebuah ikatan yang suci dan luhur, iaitu "Persahabatan". Kami dilahirkan di berlainan tempat, berlainan bahasa, berlainan agama dan berlainan budaya, namun semua itu tidak menjadi penghalang kerana kami mempunyai destinasi yang sama.

Saya masih ingat, ketika di pertemuan pertama kami semua, hanya senyuman manis terukir di bibir. Segan dan silu tak lekang dari hati masing-masing. Namun, betapa bersyukurnya, senyuman itulah yang menjadi pendorong kepada kami. Senyuman itulah yang menjadi asas kepada pembentukan "Keluarga" ini.

Perjalanan diteruskan dan setiap ahli keluarga mempunyai arah kehidupan yang tersendiri. Ketika perjalanan ini, sememangnya terdapat persengketaan, perbalahan dan pertengkaran. Kata orang, "tiada gading yang tak retak". Namun, semua itu hanyalah dugaan semata-mata yang ingin menggoyah ikatan yang telah terjalin. Destinasi kami masih sama dan aral melintang dapat ditangani dengan cemerlang. 

Di masa akan datang, kami akan sentiasa diuji. Namun, ikatan yang terjalin tidak akan putus semudah itu, kerana kami adalah satu keluarga yang bahagia!

Berlainan bangsa dan kaum namun ikatan mesra tetap terjalin
~Keharmonian keluarga terletak pada sikap tanggungjawab dan terbangunnya komunikasi yang sihat diantara ahli keluarga~

3 comments:

  1. Hai,boleh saya tahu siapa penulis artikel "Satu Destinasi"? Saya ingin sampaikan terima kasih kepada penulis ini kerana telah menulis satu artikel berbahasa Malaysia dengan begitu menarik.

    ReplyDelete